Video sekitar acara sulung kami, "Suai Kenal HIKMAH"
di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 bersamaan 19 Zulhijjah 1433 Hijrah

Terbitnya HIKMAH

Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.

HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.

Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.

------------------------

Nota (ditulis 2 Jun 2013) : Adapun penulisan di atas dibuat ketika HIKMAH sedang bersedia untuk mengadakan acara keduanya iaitu di Melaka 25 Nov 2012. Selepas itu acara ketiga telah diadakan di Lumut, Perak 27 Jan 2013, acara keempat pula di Kandis, Bachok, Kelantan 16 Mac. Kini kami sedang bersiap-sedia untuk mengadakan acara kelima di Kuala Terengganu 5-8 Jun, kali pertama acara HIKMAH diadakan melebihi 1 hari.

Biar diberitahu kemungkinan besar ia adalah acara terakhir HIKMAH sebelum hujung tahun. Selain penat mengatur acara, pengasas HIKMAH iaitu Radzi Sapiee perlu berehat menanti penyembuhan kecederaan agak serius kaki yang dialami mula sebulan lalu. Beliau juga ingin kembali pada satu usaha penulisan buku yang tergendala setahun lalu, usaha tergendala yang tanpa diduga boleh membawa pada penubuhan HIKMAH 12 Okt 2012. Harap maklum...

Tuesday, December 4, 2012

Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman?



Pada penghujung artikel tersebut ada dinyatakan bahawa antara yang disampaikan semasa acara di Istana Kesultanan Melaka 2 Disember adalah watikah resolusi yang dibuat HIKMAH menggunakan maklum balas daripada acara 25 Nov juga 4 Nov. Resolusi 10 perkara ini sebenarnya baru diputuskan segala perkataan dan bentuk isinya pada hari Jumaat malam Sabtu 30 Oktober, dalam satu mesyuarat yang dihadiri saya dan tiga orang ahli jawatankuasa kanan ad-hoc HIKMAH yang merupakan lulusan undang-undang daripada England. Antara tiga itu seorang memilih untuk bergiat sebagai penulis dan wartawan, seorang pernah jadi peguam sebelum menjadi perunding cara dan penasihat kewangan Islam. Tinggal seorang sahaja yang masih bertindak sebagai peguam sepenuh masa sehingga sekarang. Itupun beliau pernah cuba menjadi penulis majalah buat setahun dua.

Esoknya Ahad 1 November saya telah meminta seorang lagi ahli jawatankuasa ad hoc HIKMAH agar dapat menulis resolusi dalam bentuk yang lebih cantik. Beliau yang merupakan seorang ahli seni penulisan khat mencadangkan agar ia dibuat dalam tulisan Jawi lalu meminta seorang sahabat lain yang memiliki lebih keluangan masa untuk menyiapkannya. Kalaulah tidak kerana kesuntukan masa tentu ia boleh dibuat lebih cantik. Apapun, sebaik sahaja siap kami mengambil gambar menggunakan pending dan keris yang akan saya pakai di Melaka 2 Disember sebagai pemberat kertas dan hiasan.



Isi resolusi yang bertujuan untuk memartabatkan Melayu dan Islam itu kemudian dibacakan pada majlis petangnya di hadapan para VVIP dan VIP. Alhamdulillah, ramai yang memberikan reaksi yang memberangsangkan terutama para guru tua silat. Di bawah adalah 10 perkara yang dibacakan. Adalah menjadi harapan kami agar ia dapat dipanjangkan kepada ramai lagi pihak terutama golongan atasan dan raja-raja agar dapat dilaksanakan dengan jayanya.




Pernyataan HIKMAH Melaka




1. Memohon dikembalikan hak KETUHANAN Melayu selain hak ketuanan Melayu. 

2. Memohon raja-raja menonjolkan peranan sebagai ketua agama dan bangsa melalui contoh keperibadian yang tinggi sesuai dengan kedudukan mulia baginda sebagai punca kuasa negeri dan negara yang berdaulat. 

3. Memohon diangkat sistem syura yang terdiri daripada ahli-ahli ilmu yang berwibawa dalam bidang-bidang tertentu sebagai penentu hala tuju negara di bawah seliaan raja.

4. Memohon sejarah Tanah Melayu disemak dan diperbetulkan agar dapat mempertahankan peradaban orang Melayu dan Islam.

5. Memohon para Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW diketengahkan sebagai sarana keselamatan ummah seperti disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW. 

6. Memohon undang-undang syariah diangkat mengatasi common law dan muamalat Islam berdasarkan pengunaan dinar dan dirham mengatasi sistem ekonomi konvensyional seperti pada zaman kesultanan Melayu Melaka sebelum 1511.

7. Memohon didaulatkan kembali penggunaan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi pada semua peringkat. 

8. Memohon diwujudkan satu minggu sambutan Umat Melayu Sedunia diakhiri dengan cuti am hari Jumaat. 

9. Memohon ditubuhkan Universiti Ketamadunan Melayu sebagai pemangkin untuk memartabatkan ilmu tradisional Alam Melayu. 

10. Memohon dibenarkan anak-anak Melayu berjalan berkeris dan/atau bersenjata adat lain jika berbusana tradisional sebagai hak memperagakan jati diri bangsa.





Sekarang saya akan memberikan ulasan...



Perkara 1 - Memohon dikembalikan hak KETUHANAN Melayu selain hak ketuanan Melayu

Bunyinya agak pelik tetapi ia memang dibuat begitu untuk membuka fikiran. Maksudnya adalah dibenarkan/digalakkan agar orang Melayu dapat kembali kepada ilmu keTuhanan iaitu ilmu Tasawuf/Hakikat/Makrifat melalui jalan Tariqat dan sebagainya tanpa dihalang. Ini kerana kami berpendapat ilmu sebegitulah yang menjadi asas kekuatan jiwa orang Melayu, bukan sekadar pemahaman dan pengamalan agama Islam pada peringkat kulit ataupun Syariah. Namun ini cuba dinafikan sesetengah pihak atas alasan agama juga... kononnya ilmu keTuhanan seperti itu adalah Tahyul, Bidaah dan tidak pernah diajar Rasulullah SAW.


Perkara 2 - Memohon raja-raja menonjolkan peranan sebagai ketua agama dan bangsa melalui contoh keperibadian yang tinggi sesuai dengan kedudukan mulia baginda sebagai punca kuasa negeri dan negara yang berdaulat

Yang ini maksudnya terasa cukup terang. Memang raja dan kerabatnya sepatutnya menonjolkan keperibadian tinggi yang sesuai dengan fungsinya agar kedudukan baginda dan keluarga tidak boleh diragui atau dipersoalkan. Ini kerana wujudnya kerabat diraja yang keBaratan atau kurang nampak ciri-ciri keIslamannya, suka ke majlis-majlis sosial dan diketahui tanpa segan-silu meminum arak di hadapan ramai menjadi alasan untuk pihak lain menolak kepentingan wujudnya institusi raja-raja. Sedangkan kami percaya institusi rajalah yang patut ke hadapan menyatukan umat Melayu dan Islam seraya menyelamatkan keadaan di kala ahli-ahli politik kadangkala kelihatan terlebih mahu menjaga hati orang lain sehingga kera di hutan disusukan anak di rumah kelaparan.


Perkara 3 - Memohon diangkat sistem syura yang terdiri daripada ahli-ahli ilmu yang berwibawa dalam bidang-bidang tertentu sebagai penentu hala tuju negara di bawah seliaan raja

Terus-terang cakap. Ramai antara kami sudah jelak dengan sistem berpolitik dan pentadbiran berparlimen yang seperti memaksa orang memilih pihak dan berpuak-puak. Kami suka jika yang menentukan hala tuju negara itu adalah orang-orang berpengetahuan yang tidak perlu menjual prinsip demi membeli undi lalu dapat bekerja dengan tenang memberikan buah fikiran yang bernas demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara tanpa dipengaruhi apa-apa kepentingan tidak sihat baik nyata mahupun yang tersembunyi.


Perkara 4 - Memohon sejarah Tanah Melayu disemak dan diperbetulkan agar dapat mempertahankan peradaban orang Melayu dan Islam

Ini juga cukup terang. Selama ini penulisan sejarah kita banyak diwarnai Barat yang memang mahu menjatuhkan peranan orang Melayu dan Islam. Kini cara penulisan begini mahu diteruskan pihak-pihak tertentu yang mahu agar orang Melayu dilabelkan sama sebagai pendatang, Mereka sedang berusaha keras agar kurikulum sejarah wajib lulus di sekolah-sekolah bermula 2014 nanti tidak akan menekankan lagi bab kerajaan-kerajaan Melayu lama. Mereka mahu sejarah kita bermula dengan zaman kedatangan British sama seperti halnya di Singapura. Tujuan mereka agar bangsa selain Melayu diangkat sebagai peneraju dan pembentuk utama negara. Mereka sengaja mahu menyembunyikan bahawa antara para peneraju bangsa mereka ketika itu adalah orang yang bersekongkol dengan penjajah untuk menjatuhkan kekuasan raja-raja Melayu. Mereka mahu menyembunyikan fakta bahawa ketua-ketua masyarakat mereka yang awal adalah para ketua kongsi gelap yang legasi mereka mengatur segala macam perkara di sebalik tabir masih berjalan sehingga sekarang. Maka kita orang Melayu harus bertindak untuk mempertahankan kebenaran.


Perkara 5 - Memohon para Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW diketengahkan sebagai sarana keselamatan ummah seperti disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW

Saya rasa tak perlu panjangkan ini. Muliakanlah keturunan baginda walaupun ada di antara mereka, para Sayyid dan Sharifah yang nampaknya sudah tersasar dalam kehidupan. Doakanlah kebaikan buat mereka atas penghormatan kita terhadap Rasulullah SAW. Insyaallah akan ada nusrah atau pertolongan dari Allah terpancar akibat menurut saranan ini apalagi akhir zaman esok orang paling ke hadapan membela umat Islam termasuk Imam Mahdi al-Muntazar dan Pemuda Bani Tamim adalah dari keturunan ini.


6. Memohon undang-undang syariah diangkat mengatasi common law dan muamalat Islam berdasarkan pengunaan dinar dan dirham mengatasi sistem ekonomi konvensyional seperti pada zaman kesultanan Melayu Melaka sebelum 1511

Hmm. Cuba sahaja laksanakan. Insyaallah semua manusia baik Islam mahupun bukan akan terbela. Cuma mereka yang sudah terbiasa berbuat dosa juga suka mengambil keuntungan atas angin seperti para pemodal Yahudi atau berhati Yahudi sahaja yang takut dengan saranan ini.


7.  Memohon didaulatkan kembali penggunaan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi pada semua peringkat

Ini rasanya adalah saranan yang sudah disuarakan ramai pejuang bangsa dan bahasa sejak sekian lama. Kita boleh mencontohi negara Brunei di mana pada setiap papan tanda jalan, nama kedai, bangunan dan sebagainya ada tertulis nama dalam tulisan Jawi.


8. Memohon diwujudkan satu minggu sambutan Umat Melayu Sedunia diakhiri dengan cuti am hari Jumaat 

Ini adalah satu saranan yang bertujuan untuk menyatukan umat Melayu seantero dunia agar dapat bergerak dalam fikrah yang sama membela agama Islam melalui keseragaman waktu dalam menonjolkan jati diri ketamadunan bangsa. Ketika ini bolehlah digalakkan semua anak Melayu berpakaian tradisi sambil mempromosi aspek-aspek lain ketamadunan kita seperti kebudayaan, kesenian, persilatan malah masakan dan ubat-ubatan. Salah satu kesan yang diharapkan adalah agar anak-anak Melayu tidak malu mengaku Melayu seperti halnya terjadi pada sesetengah orang generasi sekarang akibat sudah lama dimomokkan dengan dakyah bahawa Melayu itu bodoh, lemah, bukan seperti bangsa Barat yang progresif maju atau bangsa Cina yang pandai berniaga lagi tinggi daya saingnya (kononnya). Dalam masa itu berbagai jenis acara yang mengenengahkan hal-hal keMelayuan digalakkan (atau diwajibkan?) diadakan di seluruh Alam Melayu bermula di Malaysia.


9. Memohon ditubuhkan Universiti Ketamadunan Melayu sebagai pemangkin untuk memartabatkan ilmu tradisional Alam Melayu

Universiti sebegini boleh digunakan untuk menggali segala macam khazanah ilmu orang Melayu lama yang sebenarnya tinggi tahap ketamadunannya tetapi sudah lama diperkecilkan akibat dakyah Barat menulis sejarah yang memperlekehkan kita. Ilmu-ilmu seperti urutan tradisional, perubatan Islam dan persilatan boleh diangkat dengan mendirikan fakulti-fakulti yang boleh memberikan ijazah dalam bidang-bidang tersebut. Sejarah Melayu yang hilang disusun-kembali secara sistematik dengan kekuatan kaki tangan universiti meneroka ke seantero dunia mencari artifak-artifak dan manuskrip yang dirampas atau bukti-bukti lain yang boleh menunjukkan pencapaian sebenar tamadun kita.


10. Memohon dibenarkan anak-anak Melayu berjalan berkeris dan/atau bersenjata adat lain jika berbusana tradisional sebagai hak memperagakan jati diri bangsa

Dalam hal ini cukuplah disebut kalau bangsa Sikh boleh memakai serban sehingga tidak perlu memakai topi keledar ketika menunggang motosikal, sehingga boleh membawa sejenis pisau kecil tradisional pada badan sebagai hak adat dan agama mereka, mengapa tidak kita sebagai bangsa asal Tanah Melayu? Saya difahamkan larangan memakai keris dan senjata ini sebenarnya mula berkuatkuasa pada awal tahun 1970an. Katanya ini adalah akibat kesan ketakutan bangsa lain selepas peristiwa 13 Mei 1969. Begitu juga sesetengah ilmu bela diri kebatinan seperti Nasrul Haq diharamkan, atas permintaan kaum yang ketakutan. Jadi tepuk dada tanyalah selera. Orang Melayu perlu digalakkan merasa bangga memakai busana tradisi dengan keris atau senjata adat menjadi 'penyedap' badan.


----------------


Kepada mereka yang mempersoalkan kenapa kami melebihkan perjuangan orang Melayu berbanding agama Islam harap suluhlah tujuan kami dengan mata hati jernih lagi suci. Sesungguhnya bagi kami Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Tetapi kami tekankan perkataan Melayu kerana inilah strategi perjuangan. Kami cuma menurut saranan hadis Rasulullah SAW bahawa akan muncul panji-panji hitam dari Timur. Gerakan inilah yang nanti akan membela umat Islam di seluruh dunia. Selagi ia tidak lagi bertapak dan berdiri, selagi itulah segala usaha untuk menyelamatkan umat Islam misalnya di Gaza dan Palestin adalah perjuangan-perjuangan kecilan yang tidak akan membawa hasil jangka panjang. Percayalah... dirikan tapak di Timur yang akan diterajui oleh orang Melayu... orang Melayu termasuk keturunan Nabi Muhammad SAW yang sudah lama 'masuk' Melayu.  Naikkan raja-raja yang berwibawa sebagai pemimpin dan fokuskan kerja untuk penyatuan ummah. Dari situ insyaallah kita akan dapat menuju kekhalifahan lalu membela Islam di seantero jagat raya. Sekian.



1 comment:

  1. Salam. Percubaan yang baik untuk Melayu. Perlu diingat :-
    Hebatnya Melayu bukan kerana Raja nya tetapi Kehebatan Rajanya kerana Melayu rakyatnya.
    Hebatnya Melayu bukan kerana agamanya tetapi hebatnya Melayu kerana kepatuhanya.
    Tiada Melayu tiada Raja, Raja memerlukan umat Melayu untuk mendaulatkanya. Dahulukan Melayu barulah Raja..Dahulukan Raja..Melayu diinjak
    Sekiranya inginkan Melayu..pastikan..jangan diuniformkan. Terima kasih.

    ReplyDelete